waktu mesir

Makluman

Kepada rakan-rakan,blog ini sudah tidak berfungsi. Untuk selanjutnya di sini: http://mutaqdr.blogspot.com/

Pembersihan Jiwa

10 nasihat Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah untuk bersabar agar tidak terjerumus dalam lembah maksiat

Pertama

Hendaklah seseorang hamba menyedari betapa buruk, hina dan rendahnya perbuatan maksiat. Dan hendaklah dia memahami bahawa Allah s.w.t mengharamkan serta melarangnya dalam rangka menjaga hamba dari terjerumus dalam perkara-perkara yang keji dan rendah sebagaimana penjagaan seorang ayah yang sangat sayang kepada anaknya demi menjaga anaknya agar tidak tertimpa sesuatu yang membahayakannya.

Kedua

Merasa malu kepada Allah s.w.t… Kerana sesungguhnya apabila seseorang hamba menyedari pandangan Allah s.w.t yang selalu mengawasi dirinya dan menyedari betapa tinggi kedudukan Allah s.w.t di matanya. Dan apabila dia menyedari bahawa perbuatannya dilihat dan didengari Allah s.w.t, tentu sahaja dia akan merasa malu apabila dia melakukan perkara yang boleh mengundang kemurkaan Rabbnya… Rasa malu itu akan menyebabkan terbukanya mata hati yang akan membuatkan kita berasakan seolah-olah kita sedang berada di hadapan Allah s.w.t…

Ketiga

Senantiasa menjaga nikmat yang telah dilimpahkan Allah s.w.t kepada kita dan mengingat-ingat akan kebaikan-Nya kepada kita……………

Apabila engkau dilimpahi nikmat
maka jagalah, karena maksiat
akan membuat nikmat hilang dan lenyap

Barang siapa yang tidak mahu bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah s.w.t kepadanya maka dia akan disiksa dengan nikmat itu sendiri.

Keempat

Merasa takut kepada Allah s.w.t dan khuatir tertimpa akan hukuman-Nya

Kelima

Mencintai Allah s.w.t… Kerana seorang kekasih tentu akan mengikuti kehendak orang yang dikasihinya… Sesungguhnya maksiat itu muncul diakibatkan oleh lemahnya rasa kecintaan.

Keenam

Menjaga kemuliaan dan kesucian diri serta memelihara kehormatan dan kebaikannya… Sebab perkara-perkara inilah yang akan membuatkan dirinya merasa mulia dan rela meninggalkan pelbagai perbuatan maksiat…

Ketujuh

Memiliki kekuatan ilmu tentang betapa buruknya kesan perbuatan maksiat serta jeleknya akibat yang ditimbulkannya dan juga bahaya yang timbul sesudahnya… Iiaitu berupa muramnya wajah, gelapnya hati, sempitnya hati dan perasaan gundah-gulana yang menyelimuti diri… Kerana dosa-dosa itu akan membuat hati menjadi mati…

Kelapan

Menghadirkan buaian angan-angan yang tidak berguna. Dan hendaklah setiap insan menyedari bahawa dia tidak akan tinggal selamanya di alam dunia. Dan dia mestilah sedar jika dirinya hanyalah sebagaimana tetamu yang datang menyinggah, dia akan segera berpindah dari tempat persinggahannya... Sehingga tidak ada sesuatu pun yang akan mendorong dirinya untuk semakin menambah berat tanggungan dosanya, kerana dosa-dosa itu jelas akan membahayakan dirinya dan sama sekali tidak akan memberikan manfaat apa-apa...

Kesembilan

Hendaklah menjauhi sikap berlebihan dalam masalah makan, minum dan berpakaian. Kerana sesungguhnya besarnya dorongan untuk berbuat maksiat hanyalah muncul akibat dari berlebihan dalam perkara-perkara tadi. Dan diantara sebab terbesar yang mendatangkan bahaya bagi diri seorang hamba adalah… “kelapangan waktu yang dia miliki…” Kerana jiwa manusia secara fitrahnya tidak mahu duduk diam tanpa melakukan apa-apa kegiatan… Sehinggalah apabila dia tidak disibukkan dengan perkara-perkara yang bermanfaat maka tentulah dia akan disibukkan dengan perkara-perkara yang berbahaya baginya.

Kesepuluh

Sebab terakhir adalah sebab yang merangkumkan sebab-sebab di atas… Iaitu kekukuhan pohon keimanan yang tertanam kuat di dalam hati… Maka kesabaran hamba untuk menahan diri dari perbuatan maksiat itu sangat bergantung dengan kekuatan imannya… Setiap kali imannya kukuh maka kesabarannya juga turut akan kuat… Dan apabila imannya lemah maka sabarnya juga turut lemah… Dan barangsiapa yang menyangka bahawa dia akan sanggup meninggalkan berbagai macam penyimpangan dan perbuatan maksiat tanpa dibekali keimanan yang kukuh maka sungguh dia telah keliru.

(Diterjemahkan dari artikel berjudul ‘Asyru Nashaa’ih libnil Qayyim li shabri ‘anil ma’shiyah)

Kematian (bhg 1)

Saat kematianku, bagaimana?

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana sudi memberi pinjam nyawa. Bila waktunya Allah akan ambil kembali tidaklah diketahui. Begitu juga tidak diketahui dimana tempatnya kita berada ketika nyawa kita dicabut. Sungguh menakutkan apabila perkara ini difikirkan. Ini kerana penentuan balasan baik atau buruk yang akan diterima seseorang itu mengikut saat nyawa dicabut dari badan. Demikian sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis sahih: (maksudnya)

sesungguhnya amalan itu (tergantung) dengan penutupnya” (riwayat Bukhari dll)

Oleh sebab itulah seorang hamba yang soleh sentiasa merisaukannya. Dengan demikian mereka sentiasa melazimi kehidupan mereka dengan amalan soleh tanpa putus, merendahkan diri kepada Allah s.w.t agar Allah s.w.t memberikannya kekekuatan untuk beristiqamah (berterusan) dalam amal solehnya sehinggalah saat dicabutnya nyawa. Ini bertepatan dengan saranan Allah s.w.t yang mewasiatkan kita semua supaya tidak mati melainkan dalam keadaan muslim. Firman-Nya: (bermaksud)

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam” (surah Al-Imran, ayat 102)

Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan sebuah hadits dalam sahihnya, dari Abdullah bin ‘Amr bin Ash radhiallahu ‘anhu, dia mengatakan:

Saya mendengar Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda: “Sesungguhnya hati-hati keturunan anak Adam berada di antara dua jari dari jari-jari Allah laksana satu hati, Allah membolak-balikkannya sesuai kehendak-Nya, kemudian beliau Shalallahu ‘Alaihi Wassalam berdoa: ”Ya Allah, Dzat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati-hati kami kepada ketaatan-Mu.”

Perhatikan! Betapa pentingnya kita mengambil berat soal ketika mana nyawa dicabut. Sehinggakan Rasulullah s.a.w berdoa supaya Allah s.w.t memalingkan hatinya kepada kebaikan. Sementara itu, penentuan saat-saat akhir kehidupan adalah mengikut amalan kebiasaan seseorang itu sehari-harian. Jika ia melazimi kehidupan dengan amal soleh, insyaAllah saat akhir kehidupannya juga akan baik. Jika sebaliknya, pasti kejelekan yang akan menimpanya. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak akan menzalimi hamba-Nya walau sedikit.

Memerhatikan peri pentingnya perkara ini, dan keharusan kita mengambil berat akan soal kematian ini, maka saya menulis perkara ini sebagai pengingat untuk diri ini khususnya dan rakan pembaca umumnya. Baca seterusnya.

Apakah husnul khatimah?

Husnul khatimah adalah seseorang itu mati dalam keadaan baik. Iaitu sebelum daripada saat nyawanya dicabut, Allah s.w.t memberikannya taufik untuk menjauhi segala amalan-amalan yang mengundang kemurkaan-Nya. Dia bertaubat dari dosa dan maksiat yang dilakukan, serta bersemangat untuk melakukan ketaatan dan amalan soleh, sehingga akhirnya dia dimatikan dalam keadaan ini. Dalil yang menunjukkan makna ini iaitu hadis sahih dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: (maksudnya)

Apabila Allah mengkehendaki kebaikan pada hambanya, maka Allah memanfaatkannya”. Para sahabat bertanya, “bagaimana Allah akan memanfaatkannya?” Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wassalam menjawab, “Allah akan memberikannya taufik untuk beramal soleh sebelum dia meninggal.” (hadis riwayat Ahmad, Tirmidzi dan dishahihkan al Hakim dalam Mustadrak)

Namun menjadi kesilapan dan angan-angan kosong jika seseorang terus bersenang-lenang dengan dosa dan maksiat yang dilakukan dengan mengharapkan Allah s.w.t akan mengurniakannya hidayah dan taufik-Nya di saat hampir kematiannya. Diperingatkan kepadanya akan kemurkaan Allah s.w.t, namun ia berpaling dan tetap dibuatnya segala maksiat lalu dilupakannya tanpa menyedari akan ia sebenarnya sedang menempah Neraka. Sebaliknya mengharapkan nasibnya akan berubah di saat hampir kematiannya. Mari perhatikan firman Allah s.w.t ini: (bermaksud)

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat dari Tuhannya lalu dia berpaling daripadanya dan melupakan apa yang telah dikerjakan oleh kedua tangannya? Sesungguhnya Kami telah meletakkan tutupan di atas hati mereka, (sehingga mereka tidak) memahaminya, dan (Kami letakkan pula) sumbatan di telinga mereka, dan sungghupun kamu menyeru mereka kepada petunjuk, niscaya mereka tidak akan mendapat petunjuk selama-lamanya” (surah Al-Kahfi, ayat 57)

Dalam hadis Rasulullah s.a.w mengingatkan kita dengan sabdanya: Dari Abu Hurairah r.a (maksudnya)

"Sesungguhnya orang mukmin, jika ia melakukan dosa maka (saat itu juga) akan tertitik satu titik hitam di hatinya, jika ia bertaubat dan menjaga (dirinya dari perbuatan dosa tersebut) dan memohon keampunan maka hatinya (kembali) bersih, jika ia menambahinya (dengan perbuatan dosa lagi) maka titik hitam itu bertambah pula di dalam hatinya. Selanjutnya itulah "ran" yang disebutkan dalam firman Allah s.w.t:

"Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka” (surah Al-Muthaffifin, ayat 14)

(Hadits hasan, dikeluarkan oleh Ibnu Majah dalam, Kitab Az-Zuhd)

Jelas di sini, setiap dosa yang dilakukan akan menyebabkan hatinya bertambah dengan titik-titik hitam seterusnya gelap daripada menerima hidayah dan taufiq. Apabila demikian, ia akan berterusan melakukan dosa dan akhirnya mati dalam keadaan bergelumang dosa. Sungguh sangkaan mereka jauh meleset dari hakikat sebenar. Sebaliknya yang akan mereka perolehi adalah azab daripada Allah s.w.t. Firman-Nya: (bermaksud)

“Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka siksa yang amat berat” (surah Al-Baqarah, ayat 7)

Apa tindakan kita?

Setelah kita fahami hakikat ini, semestinya kita mahu Allah s.w.t anugerahkan kita dengan husnul khatimah. Diantara yang disarankan adalah dengan kita melazimi dengan doa-doa tersebut.

هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Hablii hukmaw wa al hiqniy bish shoolihiin

“(Ibrahim berdoa) Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh” (surah As-Syu’ara, ayat 83)

اللهم اجعل خير عمري أخره و خير عملي خواتيمه و خير أيامي يوم لقائك

Allaahummaj’al khayra ‘umrii aakhirahu wa khayra ‘amalii khawaatiimahu wa khayra ayyaamii yawma lliqaa’ika

“Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada ujungnya dan sebaik-baik amalku pada akhir hayatku, dan (jadikanlah) sebaik-baik hariku yaitu hari ketika aku bertemu dengan-Mu (di hari kiamat)” (hadis riwayat Ibnus Sunni)

اللهم اختم لنا بحسـن الخاتمة ولا تختم علينا بسـوء الخاتمة

Allaahummakhtimlana bihusnil khaatimah walaa takhtim ‘alaina bisuu il khaatimah

“Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul-khatimah (akhir yang baik), dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan suu-ul-khatimah (akhir yang buruk)”

Sama-samalah kita mengamalkan doa-doa ini, selain daripada kita lazimi diri dengan amal soleh. Mudah-mudahan kita semua berjaya mendapatkan husnul khatimah ini.


p/s: Saya akan panjangkan lagi penulisan ini di bawah tajuk:

*penyebab-penyebab husnul khatimah

*tanda-tanda husnul khatimah

Insya Allah…

Motivasi

"kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia,menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.." (surah Al-Imran, ayat 110)