waktu mesir

Makluman

Kepada rakan-rakan,blog ini sudah tidak berfungsi. Untuk selanjutnya di sini: http://mutaqdr.blogspot.com/

Pembersihan Jiwa

10 nasihat Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah untuk bersabar agar tidak terjerumus dalam lembah maksiat

Pertama

Hendaklah seseorang hamba menyedari betapa buruk, hina dan rendahnya perbuatan maksiat. Dan hendaklah dia memahami bahawa Allah s.w.t mengharamkan serta melarangnya dalam rangka menjaga hamba dari terjerumus dalam perkara-perkara yang keji dan rendah sebagaimana penjagaan seorang ayah yang sangat sayang kepada anaknya demi menjaga anaknya agar tidak tertimpa sesuatu yang membahayakannya.

Kedua

Merasa malu kepada Allah s.w.t… Kerana sesungguhnya apabila seseorang hamba menyedari pandangan Allah s.w.t yang selalu mengawasi dirinya dan menyedari betapa tinggi kedudukan Allah s.w.t di matanya. Dan apabila dia menyedari bahawa perbuatannya dilihat dan didengari Allah s.w.t, tentu sahaja dia akan merasa malu apabila dia melakukan perkara yang boleh mengundang kemurkaan Rabbnya… Rasa malu itu akan menyebabkan terbukanya mata hati yang akan membuatkan kita berasakan seolah-olah kita sedang berada di hadapan Allah s.w.t…

Ketiga

Senantiasa menjaga nikmat yang telah dilimpahkan Allah s.w.t kepada kita dan mengingat-ingat akan kebaikan-Nya kepada kita……………

Apabila engkau dilimpahi nikmat
maka jagalah, karena maksiat
akan membuat nikmat hilang dan lenyap

Barang siapa yang tidak mahu bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah s.w.t kepadanya maka dia akan disiksa dengan nikmat itu sendiri.

Keempat

Merasa takut kepada Allah s.w.t dan khuatir tertimpa akan hukuman-Nya

Kelima

Mencintai Allah s.w.t… Kerana seorang kekasih tentu akan mengikuti kehendak orang yang dikasihinya… Sesungguhnya maksiat itu muncul diakibatkan oleh lemahnya rasa kecintaan.

Keenam

Menjaga kemuliaan dan kesucian diri serta memelihara kehormatan dan kebaikannya… Sebab perkara-perkara inilah yang akan membuatkan dirinya merasa mulia dan rela meninggalkan pelbagai perbuatan maksiat…

Ketujuh

Memiliki kekuatan ilmu tentang betapa buruknya kesan perbuatan maksiat serta jeleknya akibat yang ditimbulkannya dan juga bahaya yang timbul sesudahnya… Iiaitu berupa muramnya wajah, gelapnya hati, sempitnya hati dan perasaan gundah-gulana yang menyelimuti diri… Kerana dosa-dosa itu akan membuat hati menjadi mati…

Kelapan

Menghadirkan buaian angan-angan yang tidak berguna. Dan hendaklah setiap insan menyedari bahawa dia tidak akan tinggal selamanya di alam dunia. Dan dia mestilah sedar jika dirinya hanyalah sebagaimana tetamu yang datang menyinggah, dia akan segera berpindah dari tempat persinggahannya... Sehingga tidak ada sesuatu pun yang akan mendorong dirinya untuk semakin menambah berat tanggungan dosanya, kerana dosa-dosa itu jelas akan membahayakan dirinya dan sama sekali tidak akan memberikan manfaat apa-apa...

Kesembilan

Hendaklah menjauhi sikap berlebihan dalam masalah makan, minum dan berpakaian. Kerana sesungguhnya besarnya dorongan untuk berbuat maksiat hanyalah muncul akibat dari berlebihan dalam perkara-perkara tadi. Dan diantara sebab terbesar yang mendatangkan bahaya bagi diri seorang hamba adalah… “kelapangan waktu yang dia miliki…” Kerana jiwa manusia secara fitrahnya tidak mahu duduk diam tanpa melakukan apa-apa kegiatan… Sehinggalah apabila dia tidak disibukkan dengan perkara-perkara yang bermanfaat maka tentulah dia akan disibukkan dengan perkara-perkara yang berbahaya baginya.

Kesepuluh

Sebab terakhir adalah sebab yang merangkumkan sebab-sebab di atas… Iaitu kekukuhan pohon keimanan yang tertanam kuat di dalam hati… Maka kesabaran hamba untuk menahan diri dari perbuatan maksiat itu sangat bergantung dengan kekuatan imannya… Setiap kali imannya kukuh maka kesabarannya juga turut akan kuat… Dan apabila imannya lemah maka sabarnya juga turut lemah… Dan barangsiapa yang menyangka bahawa dia akan sanggup meninggalkan berbagai macam penyimpangan dan perbuatan maksiat tanpa dibekali keimanan yang kukuh maka sungguh dia telah keliru.

(Diterjemahkan dari artikel berjudul ‘Asyru Nashaa’ih libnil Qayyim li shabri ‘anil ma’shiyah)

Kematian (bhg 1)

Saat kematianku, bagaimana?

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana sudi memberi pinjam nyawa. Bila waktunya Allah akan ambil kembali tidaklah diketahui. Begitu juga tidak diketahui dimana tempatnya kita berada ketika nyawa kita dicabut. Sungguh menakutkan apabila perkara ini difikirkan. Ini kerana penentuan balasan baik atau buruk yang akan diterima seseorang itu mengikut saat nyawa dicabut dari badan. Demikian sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis sahih: (maksudnya)

sesungguhnya amalan itu (tergantung) dengan penutupnya” (riwayat Bukhari dll)

Oleh sebab itulah seorang hamba yang soleh sentiasa merisaukannya. Dengan demikian mereka sentiasa melazimi kehidupan mereka dengan amalan soleh tanpa putus, merendahkan diri kepada Allah s.w.t agar Allah s.w.t memberikannya kekekuatan untuk beristiqamah (berterusan) dalam amal solehnya sehinggalah saat dicabutnya nyawa. Ini bertepatan dengan saranan Allah s.w.t yang mewasiatkan kita semua supaya tidak mati melainkan dalam keadaan muslim. Firman-Nya: (bermaksud)

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam” (surah Al-Imran, ayat 102)

Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan sebuah hadits dalam sahihnya, dari Abdullah bin ‘Amr bin Ash radhiallahu ‘anhu, dia mengatakan:

Saya mendengar Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda: “Sesungguhnya hati-hati keturunan anak Adam berada di antara dua jari dari jari-jari Allah laksana satu hati, Allah membolak-balikkannya sesuai kehendak-Nya, kemudian beliau Shalallahu ‘Alaihi Wassalam berdoa: ”Ya Allah, Dzat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati-hati kami kepada ketaatan-Mu.”

Perhatikan! Betapa pentingnya kita mengambil berat soal ketika mana nyawa dicabut. Sehinggakan Rasulullah s.a.w berdoa supaya Allah s.w.t memalingkan hatinya kepada kebaikan. Sementara itu, penentuan saat-saat akhir kehidupan adalah mengikut amalan kebiasaan seseorang itu sehari-harian. Jika ia melazimi kehidupan dengan amal soleh, insyaAllah saat akhir kehidupannya juga akan baik. Jika sebaliknya, pasti kejelekan yang akan menimpanya. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak akan menzalimi hamba-Nya walau sedikit.

Memerhatikan peri pentingnya perkara ini, dan keharusan kita mengambil berat akan soal kematian ini, maka saya menulis perkara ini sebagai pengingat untuk diri ini khususnya dan rakan pembaca umumnya. Baca seterusnya.

Apakah husnul khatimah?

Husnul khatimah adalah seseorang itu mati dalam keadaan baik. Iaitu sebelum daripada saat nyawanya dicabut, Allah s.w.t memberikannya taufik untuk menjauhi segala amalan-amalan yang mengundang kemurkaan-Nya. Dia bertaubat dari dosa dan maksiat yang dilakukan, serta bersemangat untuk melakukan ketaatan dan amalan soleh, sehingga akhirnya dia dimatikan dalam keadaan ini. Dalil yang menunjukkan makna ini iaitu hadis sahih dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: (maksudnya)

Apabila Allah mengkehendaki kebaikan pada hambanya, maka Allah memanfaatkannya”. Para sahabat bertanya, “bagaimana Allah akan memanfaatkannya?” Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wassalam menjawab, “Allah akan memberikannya taufik untuk beramal soleh sebelum dia meninggal.” (hadis riwayat Ahmad, Tirmidzi dan dishahihkan al Hakim dalam Mustadrak)

Namun menjadi kesilapan dan angan-angan kosong jika seseorang terus bersenang-lenang dengan dosa dan maksiat yang dilakukan dengan mengharapkan Allah s.w.t akan mengurniakannya hidayah dan taufik-Nya di saat hampir kematiannya. Diperingatkan kepadanya akan kemurkaan Allah s.w.t, namun ia berpaling dan tetap dibuatnya segala maksiat lalu dilupakannya tanpa menyedari akan ia sebenarnya sedang menempah Neraka. Sebaliknya mengharapkan nasibnya akan berubah di saat hampir kematiannya. Mari perhatikan firman Allah s.w.t ini: (bermaksud)

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat dari Tuhannya lalu dia berpaling daripadanya dan melupakan apa yang telah dikerjakan oleh kedua tangannya? Sesungguhnya Kami telah meletakkan tutupan di atas hati mereka, (sehingga mereka tidak) memahaminya, dan (Kami letakkan pula) sumbatan di telinga mereka, dan sungghupun kamu menyeru mereka kepada petunjuk, niscaya mereka tidak akan mendapat petunjuk selama-lamanya” (surah Al-Kahfi, ayat 57)

Dalam hadis Rasulullah s.a.w mengingatkan kita dengan sabdanya: Dari Abu Hurairah r.a (maksudnya)

"Sesungguhnya orang mukmin, jika ia melakukan dosa maka (saat itu juga) akan tertitik satu titik hitam di hatinya, jika ia bertaubat dan menjaga (dirinya dari perbuatan dosa tersebut) dan memohon keampunan maka hatinya (kembali) bersih, jika ia menambahinya (dengan perbuatan dosa lagi) maka titik hitam itu bertambah pula di dalam hatinya. Selanjutnya itulah "ran" yang disebutkan dalam firman Allah s.w.t:

"Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka” (surah Al-Muthaffifin, ayat 14)

(Hadits hasan, dikeluarkan oleh Ibnu Majah dalam, Kitab Az-Zuhd)

Jelas di sini, setiap dosa yang dilakukan akan menyebabkan hatinya bertambah dengan titik-titik hitam seterusnya gelap daripada menerima hidayah dan taufiq. Apabila demikian, ia akan berterusan melakukan dosa dan akhirnya mati dalam keadaan bergelumang dosa. Sungguh sangkaan mereka jauh meleset dari hakikat sebenar. Sebaliknya yang akan mereka perolehi adalah azab daripada Allah s.w.t. Firman-Nya: (bermaksud)

“Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka siksa yang amat berat” (surah Al-Baqarah, ayat 7)

Apa tindakan kita?

Setelah kita fahami hakikat ini, semestinya kita mahu Allah s.w.t anugerahkan kita dengan husnul khatimah. Diantara yang disarankan adalah dengan kita melazimi dengan doa-doa tersebut.

Ù‡َبْ Ù„ِÙŠ Ø­ُÙƒْÙ…ًا ÙˆَØ£َÙ„ْØ­ِÙ‚ْÙ†ِÙŠ بِالصَّالِØ­ِينَ

Hablii hukmaw wa al hiqniy bish shoolihiin

“(Ibrahim berdoa) Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh” (surah As-Syu’ara, ayat 83)

اللهم اجعل خير عمري أخره و خير عملي خواتيمه و خير أيامي يوم لقائك

Allaahummaj’al khayra ‘umrii aakhirahu wa khayra ‘amalii khawaatiimahu wa khayra ayyaamii yawma lliqaa’ika

“Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada ujungnya dan sebaik-baik amalku pada akhir hayatku, dan (jadikanlah) sebaik-baik hariku yaitu hari ketika aku bertemu dengan-Mu (di hari kiamat)” (hadis riwayat Ibnus Sunni)

اللهم اختم لنا بحسـن الخاتمة ولا تختم علينا بسـوء الخاتمة

Allaahummakhtimlana bihusnil khaatimah walaa takhtim ‘alaina bisuu il khaatimah

“Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul-khatimah (akhir yang baik), dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan suu-ul-khatimah (akhir yang buruk)”

Sama-samalah kita mengamalkan doa-doa ini, selain daripada kita lazimi diri dengan amal soleh. Mudah-mudahan kita semua berjaya mendapatkan husnul khatimah ini.


p/s: Saya akan panjangkan lagi penulisan ini di bawah tajuk:

*penyebab-penyebab husnul khatimah

*tanda-tanda husnul khatimah

Insya Allah…

Kes kematian adik Syafiah

Ramai telah mendahului dalam mengulas isu kematian kanak-kanak yang berusia 3 tahun di Kuala Kubu Bharu baru-baru ini. Saya juga terpanggil untuk berkongsi sesuatu dengan rakan pambaca dalah isu ini. Sungguh memeranjatkan apabila saya membaca berita tersebut. Terfikir bagaimanakah lelaki tersebut boleh bertindak sedemikian rupa. Namun saya tidak mahu menyertai mereka yang menghamburkan kemarahan dalam bentuk cacian dan celaan terhadap pembunuh. Rasanya tidak perlu saya nyatakan kenapa, tetapi cukuplah saya katakan saya tidak bersetuju dengan cara sedemikian, walaupun kadang-kadang tanpa disedari ianya terjadi juga tanpa kehendaki.

Seperti mana tulisan saya yang lepas di bawah tajuk “ujian emosiku”, saya telah nyatakan setiap daripada kita akan ditimpakan sesuatu oleh Allah s.w.t dengan tujuan untuk mengetahui kebenaran dan sejauh mana tahap keimanan kita. Di sini jelas, lelaki tersebut juga ditimpakan ujian iaitu tahap kawalan emosi yang rendah. Namun demikian, secara asasnya faktor IMAN dan TAQWA sahaja yang mampu membuatkan seseorang itu mampu mengawal diri dan emosinya. Lihat sabda Rasulullah s.a.w: Dari Abu Hurairah r.a (maksudnya)

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seorang penzina tidak akan berzina jika ketika itu dia berada di dalam keimanan. Seorang pencuri tidak akan mencuri jika ketika itu dia berada di dalam keimanan iaitu iman yang sempurna. Begitu juga seorang peminum arak tidak akan meminum arak jika ketika itu dia berada di dalam keimanan” (hadis riwayat Muslim, bab iman)

Lihat! Ketiga-tiga maksiat yang disebut di atas adalah tergolong daripada dosa-dosa besar. Kesemuanya tidak akan berlaku melainkan ketika itu imannya tiada bersamanya. Kata lain, ketika itu hatinya langsung tidak mengingati Allah s.w.t. Begitu juga yang berlaku kepada si pembunuh ini, membunuh juga tergolong daripada dosa-dosa besar. Tidak berlaku pembunuhan melainkan tiada iman dalam hati si pembunuh. Sebaliknya hatinya dikuasai oleh hawa nafsu dan hasutan syaitan.

Tiadalah yang diharapkan melainkan kembalinya iman ke dalam hati lelaki tersebut dan beratubat kepada Allah s.w.t. Jika sememangnya empunya diri tidak memberi tumpuan terhadap imannya, perlukah kita mengeji mencacinya? Salah empunya diri tidak mencari ilmu atau sang pendakwah yang terlepas pandang? Bukan niat ingin menuding jari meyalahkan sesiapa, tetapi sekadar persoalan untuk kita bermuhasabah. Khususnya buat para pendakwah di kawasan berlakunya kejadian.

Namun menjadi kesilapan untuk menyandarkan tugas ini di bahu para pendakwah sahaja. Apakah masyarakat biasa tidak boleh berdakwah? Sedarilah, setiap daripada kita yang mengucapakan kalimah “Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan nabi Muhammad sebagai Rasul-Nya” maka dia adalah seorang pendakwah. Setiap manusia yang digelar “muslimin”, maka ke atasnya terpikul satu tanggungjawab. Iaitu MENGAJAK KEPADA KEBAIKAN DAN MENCEGAH SESUATU YANG MUNKAR. Dengan ini digelarlah kita sebagai sebaik-baik umat oleh Allah s.w.t: (bermaksud)

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah..” (surah Al-Imran, ayat 110)

Sabda Rasulullah s.a.w: Hadis Abu Said r.a (maksudnya)

“Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka dia hendaklah menegah kemungkaran itu dengan tangannya iaitu kuasanya. Jika tidak mampu, hendaklah ditegah dengan lidahnya. Kemudian kalau tidak mampu juga, hendaklah ditegah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman” (hadis riwayat Muslim, bab iman)

Sebaik-baik petunjuk adalah Al-Quran dan sunnah rasul-Na. Ambil dan amalkanlah dalam kehidupan. Janganlah rela melihat kejahatan serta maksiat berlaku tanpa teguran atau nasihat. Paling tidak dahulukan doa untuk mereka. Ketahuilah, jika Allah menurunkan azabnya, kesemuanya akan merasainya. Sanggupkah kita? Mari perhatikan peringatan yang diberikan Tuhan yang sayangkan hambanya yang terlalu lemah ini: (bermaksud)

“Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus ditimpakan terhadap orang-orang yang zalim sahaja diantara kamu, dan ketahuilah bahawa Allah sangat keras siksaan-Nya” (surah Al-Anfal, ayat 25)



Ujian emosiku


Rasanya semua rakan-rakan pembaca pernah marah dan pernah dimarahi. Mesti semua tidak menyukai keadaan ini. Tetapi hendak atau tidak, sedar atau tidak sedar, marah itu telah dicipta oleh Allah s.w.t untuk kegunaan makhluknya dan diletakkan dalam diri mereka. Cumanya yang tidak disukai ialah marah yang tidak kena pada tempatnya. Mudah mulut berkata supaya jangan marah, tetapi tidak mudah untuk melaksanakan melainkan mereka yang mantap imannya. Mesti ada tujuannya marah ini dicipta oleh Allah s.w.t.

Tetapi sebagai umat Islam, ia sepatutnya mengetahui ketika manakah seseorang itu dibolehkan untuk marah? Yang sepatutnya kemarahan itu perlu disalurkan dengan betul, pada tempat yang betul dan pada tujuan yang betul. Dan dengan cara serta matlamat yang betul. Maka kembalilah pada cara bagaimana Islam tunjukkan.

Tetapi kadang-kadang dalam sesuatu masalah kita tidak mampu megawal emosi. Lebih teruk lagi dalam kita marah kita melakukan perkara maksiat yang dilarang. Contohnya perkataan-perkataan keji, cacian serta sumpahan. Na’uzubillah. Namun buat mereka yang telah tertewas jangan putus asa ya, selagi Allah s.w.t sudi memberi pinjam nyawa kepada kita, selagi itulah kita berpeluang untuk berusaha memohon ampun dan memperbaikinya.

Dalam perkara ini, mari kita lihat kisah nabi Adam a.s dan Iblis dalam Al-Quran. Sebaik sahaja Nabi Adam dicipta, lalu diperintahkan Iblis supaya sujud kepada nabi Adam a.s. Sedangkan Iblis pada waktu tersebut adalah makhluk Allah yang paling hebat. Perintah supaya sujud merupakan ujian buat Iblis. Lalu yang berlaku ialah Iblis enggan mematuhi perintah tersebut. Lihat! Apabila Iblis diuji untuk menyembah nabi Adam a.s, barulah terserlah kelemahan Iblis. Apabila diuji, barulah nampak kekurangan yang ada pada dirinya.

Nabi Adam a.s juga diuji oleh Allah s.w.t. Dia dilarang daripada mendekati sejenis pokok. Akan tetapi ia gagal dalam ujian ini sama seperti Iblis gagal dalam ujian. Cuma yang membezakan antara nabi Adam a.s dan Iblis ialah nabi Adam a.s sedar akan kesalahannya lalu bertaubat kepada Allah s.w.t. Akan tetapi berbeza dengan Iblis, dia tidak mengaku kesilapannya sebaliknya bersikap angkuh, lebih teruk lagi dia berjanji pula dengan Allah s.w.t untuk menyesatkan manusia.

Ujian sebegini sebenarnya Allah s.w.t mahu kita sedar tahap manakah iman kita. Allah s.w.t hendak tunjuk kepada kita kelemahan diri kita yang perlu kita sedari dan perbaiki. Setelah mengalami ujian, barulah kita tahu tahap manakah diri kita ini. Sama ada kita ikut jejak langkah nabi Adam a.s ataupun Iblis. Pilihlah!!

Manusia akan tahu hakikat diri bilamana dia diuji. Sama seperti apa yang Allah s.w.t firmankan dalam Al-Quran. Firmannya: (bermaksud)

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: “kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji lagi?” (surah Al-Ankabut, ayat 2)

Ujian sudah menjadi sunnatullah Allah s.w.t terhadap hambanya. Seorangpun tidak terlepas daripadanya. Tidak kira dia seorang nabi atau rasul-Nya, manusia biasa atau hamba, kesemuanya akan diuji. Ikuti sambungan ayat di atas: (bermaksud)

“Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta” (surah Al-Ankabut, ayat 3)


* artikel ini ditulis selepas saya dijui oleh-Nya. “Ya Allah, sesungguhnya Engkau maha pengampun lagi maha penyayang, ampunilah dosa hamba-Mu yang lemah ini, tiadalah pengampunan daripada-Mu melainkan rahmat-Mu buatku, sesungguhnya tiadalah bermakna hidupku ini tanpa rahmat-Mu, amin”.


Motivasi

"kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia,menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.." (surah Al-Imran, ayat 110)