waktu mesir
Ujian emosiku
Rasanya semua rakan-rakan pembaca pernah marah dan pernah dimarahi. Mesti semua tidak menyukai keadaan ini. Tetapi hendak atau tidak, sedar atau tidak sedar, marah itu telah dicipta oleh Allah s.w.t untuk kegunaan makhluknya dan diletakkan dalam diri mereka. Cumanya yang tidak disukai ialah marah yang tidak kena pada tempatnya. Mudah mulut berkata supaya jangan marah, tetapi tidak mudah untuk melaksanakan melainkan mereka yang mantap imannya. Mesti ada tujuannya marah ini dicipta oleh Allah s.w.t.
Tetapi sebagai umat Islam, ia sepatutnya mengetahui ketika manakah seseorang itu dibolehkan untuk marah? Yang sepatutnya kemarahan itu perlu disalurkan dengan betul, pada tempat yang betul dan pada tujuan yang betul. Dan dengan cara serta matlamat yang betul. Maka kembalilah pada cara bagaimana Islam tunjukkan.
Tetapi kadang-kadang dalam sesuatu masalah kita tidak mampu megawal emosi. Lebih teruk lagi dalam kita marah kita melakukan perkara maksiat yang dilarang. Contohnya perkataan-perkataan keji, cacian serta sumpahan. Na’uzubillah. Namun buat mereka yang telah tertewas jangan putus asa ya, selagi Allah s.w.t sudi memberi pinjam nyawa kepada kita, selagi itulah kita berpeluang untuk berusaha memohon ampun dan memperbaikinya.
Dalam perkara ini, mari kita lihat kisah nabi Adam a.s dan Iblis dalam Al-Quran. Sebaik sahaja Nabi Adam dicipta, lalu diperintahkan Iblis supaya sujud kepada nabi Adam a.s. Sedangkan Iblis pada waktu tersebut adalah makhluk Allah yang paling hebat. Perintah supaya sujud merupakan ujian buat Iblis. Lalu yang berlaku ialah Iblis enggan mematuhi perintah tersebut. Lihat! Apabila Iblis diuji untuk menyembah nabi Adam a.s, barulah terserlah kelemahan Iblis. Apabila diuji, barulah nampak kekurangan yang ada pada dirinya.
Nabi Adam a.s juga diuji oleh Allah s.w.t. Dia dilarang daripada mendekati sejenis pokok. Akan tetapi ia gagal dalam ujian ini sama seperti Iblis gagal dalam ujian. Cuma yang membezakan antara nabi Adam a.s dan Iblis ialah nabi Adam a.s sedar akan kesalahannya lalu bertaubat kepada Allah s.w.t. Akan tetapi berbeza dengan Iblis, dia tidak mengaku kesilapannya sebaliknya bersikap angkuh, lebih teruk lagi dia berjanji pula dengan Allah s.w.t untuk menyesatkan manusia.
Ujian sebegini sebenarnya Allah s.w.t mahu kita sedar tahap manakah iman kita. Allah s.w.t hendak tunjuk kepada kita kelemahan diri kita yang perlu kita sedari dan perbaiki. Setelah mengalami ujian, barulah kita tahu tahap manakah diri kita ini. Sama ada kita ikut jejak langkah nabi Adam a.s ataupun Iblis. Pilihlah!!
Manusia akan tahu hakikat diri bilamana dia diuji. Sama seperti apa yang Allah s.w.t firmankan dalam Al-Quran. Firmannya: (bermaksud)
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: “kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji lagi?” (surah Al-Ankabut, ayat 2)
Ujian sudah menjadi sunnatullah Allah s.w.t terhadap hambanya. Seorangpun tidak terlepas daripadanya. Tidak kira dia seorang nabi atau rasul-Nya, manusia biasa atau hamba, kesemuanya akan diuji. Ikuti sambungan ayat di atas: (bermaksud)
“Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta” (surah Al-Ankabut, ayat 3)
* artikel ini ditulis selepas saya dijui oleh-Nya. “Ya Allah, sesungguhnya Engkau maha pengampun lagi maha penyayang, ampunilah dosa hamba-Mu yang lemah ini, tiadalah pengampunan daripada-Mu melainkan rahmat-Mu buatku, sesungguhnya tiadalah bermakna hidupku ini tanpa rahmat-Mu, amin”.
.jpg)
0 Responses to “Ujian emosiku”: